La Tahzan Wa La Khauf

Don't Be Sad My Friends

Konsep As-Sulh

AS-SULH

1. Takrif.
i. Dari segi bahasa ialah satu proses untuk memberhentikan pertelingkahan. Kata dasar bagi istilah ini ialah dari kata kerja lampau صَلُحَ yang bermaksud kesempurnaan.

ii. Dari segi syarak ialah akad yang dilakukan untuk mendamaikan dua pihak yang bertelingkah.

2. Dalil pensyariatan.
i. Dari Al-Quran :
وَإِن طَائِفَتَان مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا [ الحجرات : 9 ]
Bermaksud: Apabila berlaku pertelingkahan dan pergaduhan antara dua golongan yang beriman, maka hendaklah kamu damaikan antara mereka.

ii. Dari Sunnah :
"الصّلْحُ جَائِزٌ بَيْنَ المُسْلِمِينَ. إلاّ صُلْحاً حَرّمَ حَلاَلاً أوْ أحَلّ حَرَاماً. والمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ،
إلاّ شَرْطاً حَرّمَ حَلاَلاً أوْ أحَلّ حَرَاماً"
Bermaksud : Perdamaian harus di kalangan muslimin, melainkan perdamaian yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram. Umat Islam bertanggungjawab menjaga syarat-syarat yang mereka tetepkan, melainkan syarat yang mengharamkan perkara halal atau syarat yang menhalalkan perkara haram.
[ hadis riwayat Abu Daud ]

iii. Dari Al-Ijmak. Semua para ulamak telah bersepakat mengatakan yang As-Sulh merupakan satu akad yang diharuskan oleh syarak.

3. Pembahagian As-Sulh secara am.
i. As-Sulh antara orang Islam dan Kafir.
ii. As-Sulh antara suami dan isteri.
iii. As-Sulh antara dua golongan islam yang bertentangan.
iv. As-Sulh dalam masalah ganti rugi jenayah.
v. As-Sulh antara dua pihak dalam masalah yang tidak berkaitan dengan harta.
vi. As-Sulh antara dua pihak dalam masalah harta benda dan hak persendirian. (Bahagian keenam ini merupakan fokus utama para ulamak fekah dalam masalah muamalat)

4. Rukun As-Sulh yang berkait secara langsung dengan muamalat.
i. Dua pihak yang melakukan akad. [ العاقدان ]
ii. Ijab dan Qabul. [ الصيغة ]
iii. Barang tuntutan. [ المصطلح عنه ]
iv. Barang gantian.[ المصطلح عليه ]


5. Pembahagian As-Sulh dari sudut persetujuan kedua-dua pihak.
i. As-Sulh dengan pengakuan pihak kedua. [ الصلح مع إقرار المدعى عليه ]
Bentuk permasalahan: pihak pertama mendakwa yang pihak kedua masih belum menunaikan hak yang tertentu kepada pihak pertama. Pihak kedua mengaku dan mengiktiraf dakwaan tersebut. Perdamaian dilakukan dengan pihak kedua membayar barang gantian lain sebagai ganti hak yang dituntut darinya. As-Sulh dengan pengakuan pihak kedua ini diterima dalam kesemua mazhab tanpa sebarang perselisihan. As-Sulh juga boleh dilaksanakan tanpa pengakuan pihak pertama. Iaitu dengan membawa bukti menyokong dakwaan pihak kedua. Bukti tersebut ialah:
a. Seorang saksi dan sumpah pihak pertama.
b. Pengetahuan Qadi tentang kebenaran dakwaan pihak pertama.
c. Sumpah pihak kedua yang dikembalikan semula kepada pihak pertama.
ii. As-Sulh dengan penafian pihak kedua. [ الصلح مع إنكارالمدعى عليه ]
Bentuk permasalahan: pihak kedua menafikan hak yang dituntut oleh pihak pertama tanpa membawa sebarang bukti. Kemudian untuk menyelesaikan pertelingkahan ini, maka perdamaian dibuat dengan pihak kedua memberikan sesuatu sebagai tebusan dari hak yang dituntut darinya. Sebahagian besar perdamaian yang berlaku dalam masyarakat adalah tanpa pengakuan pihak kedua. Bentuk kedua ini telah ditolak oleh Mazhab Syafie dan Ibnu Abi Laila tetapi diterima oleh ketiga-tiga mazhab yang lain. Tetapi sekiranya pihak pertama membawa bukti yang menyatakan kesahihan hak miliknya terhadap barang tersebut, maka As-Sulh ini diharuskan oleh Mazhab Syafie. Bukti tersebut perlu disahkan terlebih dahulu dan penyerahan hakmilik kepada pihak pertama yang mendakwa perlu mendapatkan kata putus dari qadi terlebih dahulu, tidak memadai dengan bukti yang diajukan sahaja.
iii. As-Sulh tanpa sebarang kenyataan dari pihak kedua.[الصلح مع سكوت المدعى عليه]
Bentuk permasalahan: pihak kedua tidak menafikan hak yang dituntut oleh pihak pertama dan tidak juga mengaku terhadap dakwaan ke atasnya. Pihak pertama yang membuat dakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti menyokong dakwaannya. Kemudian untuk menyelesaikan pertelingkahan ini, maka perdamaian dibuat dengan pihak kedua memberikan sesuatu sebagai tebusan dari hak yang dituntut darinya. Bentuk ketiga ini juga telah ditolak oleh Mazhab Syafie tetapi diterima oleh Ibnu Abi Laila dan ketiga-tiga mazhab yang lain. Tetapi sekiranya pihak pertama membawa bukti yang menyatakan kesahihan hak miliknya terhadap barang tersebut, maka As-Sulh ini diharuskan oleh Mazhab Syafie. Bukti tersebut perlu disahkan terlebih dahulu dan penyerahan hakmilik kepada pihak pertama yang mendakwa perlu mendapatkan kata putus dari qadi terlebih dahulu, tidak memadai dengan bukti yang diajukan sahaja.





6. As-Sulh dengan campurtangan pihak ketiga.

i. As-Sulh dari pihak ketiga dengan keizinan pihak kedua. Pada masalah ini pihak ketiga merupakan wakil dari pihak kedua. Segala pembayaran perlu dituntut semula dari pihak kedua berdasarkan konsep Al-Wakalah. Masalah ini dapat dibahagikan kepada dua keadaan:

a. Pihak kedua mengakui dakwaan pihak pertama terhadapnya. Dalam masalah ini, pihak ketiga merupakan wakil dengan keizinan pihak kedua. As-Sulh dalam keadaan ini disepakati oleh semua ulamak. Pihak ketiga juga boleh melaksanakan As-Sulh untuk dirinya sendiri. Ini bermakna pihak ketiga seolah-olahnya telah membeli barang tersebut daripada pihak pertama dan pihak ketiga perlu menuntut semula barang tersebut daripada pihak kedua yang telah membuat pengakuan sebelum ini.

b. Pihak kedua tidak mengakui dakwaan pihak pertama terhadapnya. Keadaan ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian:

(a) Sekiranya pihak ketiga menyatakan yang pihak kedua tidak berhak terhadap barang tersebut dan ianya bukan miliknya, Sekiranya pihak ketiga mampu mengambil barang tersebut dari pihak ketiga, maka As-Sulh ini dihukumkan sah dan digolongkan dalam perbahasan membeli barang yang telah dirampas. Tetapi sekiranya pihak ketiga tidak mampu menuntut semula barang tersebut dari pihak kedua, maka As-Sulh ini terbatal kerana ianya digolongkan dalam jualbeli barang yang tidak mampu diserahkan kepada pembeli.

(b) Sekiranya pihak ketiga tidak menyatakan yang pihak kedua tidak berhak terhadap barang tersebut dan ianya bukan miliknya, maka As-Sulh ini terbatal kerana dia membeli barang dari seseorang tanpa mengetahui yang barang tersebut milik penjual atau tidak.




ii. As-Sulh dari pihak ketiga tanpa keizinan pihak kedua. Ianya dinamakan dengan As-Sulh Al-Fuduli dan dibahagikan kepada lima bahagian. Empat darinya dihukumkan sah. Semua pembayaran ditanggung oleh pihak ketiga. Lima bentuk tersebut ialah :

a. Pihak ketiga memberi jaminan akan membayar barang gantian dengan berkata: Saya ingin menggugurkan dakwaan kamu terhadap si fulan dengan saya menjamin akan membayar RM 1000 kepada kamu.

b. Pihak ketiga menjanjikan yang dia akan membayar dari hartanya sendiri tanpa melafazkan jaminan seperti dalam bentuk pertama.
c. Pihak ketiga membawa barang gantian dan menentukannya [ التعيين ] kepada pihak pertama.

d. Pihak ketiga menyerahkan barang serta-merta kepada pihak pertama tanpa menentukan dan menyatakan yang barang tersebut miliknya.

e. Pihak ketiga hanya menyatakan nilai barang gantian tanpa menerangkan siapakah yang bertanggungjawab dalam pembayaran tersebut. Dalam menentukan kelulusan akad ini, perlu dirujuk kepada pihak kedua. Sekiranya pihak kedua meluluskan akad tersebut, maka As-Sulh tersebut dihukumkan sah dan segala pembayaran ditanggung oleh pihak kedua. Pihak ketiga hanya dianggap sebagai wakil sahaja. Sekiranya pihak kedua tidak bersetuju dengan akad yang dilakukan oleh pihak ketiga, maka As-Sulh tersebut dihukumkan sebagai tidak sah.

7. Akad yang terkandung dalam As-Sulh.
i. Jual beli. [ البيع ]
Bentuk masalah: Pihak pertama mendakwa yang pihak kedua perlu memulangkan kepadanya satu barang seperti satu set alat pertukangan yang dipinjam suatu masa dahulu. Pihak kedua enggan menyerahkan barang tersebut. Maka untuk menyelesaikan masalah ini, pihak pertama mengadakan perdamaian dengan meminta pihak kedua menyerahkan satu set pinggan mangkuk sebagai barang gantian. Dalam masalah ini, hakikat sebenar yang berlaku ialah proses perjualan. Seolah-olahnya pihak pertama menjual set pertukangannya kepada pihak kedua dan dibayar dengan set pinggan mangkuk. Pada masalah ini, segala syarat yang berkaitan dengan penjualan perlu diambil perhatian seperti As-Syuf`ah, permulangan semula kerana kerosakan pada barang gantian, tegahan daripada menggunakan barang gantian sebelum menerimanya, penyerahan segera barang gantian sekiranya akad berlaku pada barang yang mempunyai sebab-sebab riba, kedua-dua barang tersebut mempunyai kadar yang sama dari segi syarak sekiranya kedua-duanya ialah barangan yang mempunyai sebab riba dari jenis yang sama dan penyelesaian pertelingkahan dengan bersumpah.
ii. Pemberian. [ الهبة ]
Bentuk permasalahan: Pihak pertama mendakwa yang pihak kedua perlu memulangkan kepadanya satu barang seperti sekeping papan seluas 2 meter persegi yang dipinjam suatu masa dahulu. Pihak kedua enggan menyerahkan barang tersebut. Maka untuk menyelesaikan masalah ini, pihak pertama mengadakan perdamaian dengan menyerahkan separuh daripada papan tersebut kepada pihak kedua. Dalam masalah ini, hakikat sebenar yang berlaku
ialah proses pemberian [ الهبة ] . Ia juga dinamakan Sulh Al-Hatitah. Seolah-olahnya pihak pertama menyerahkan separuh daripada papan tersebut

kepada pihak kedua. Pada masalah ini, segala syarat yang berkaitan dengan proses pemberian [ الهبة ] perlu diambil perhatian
seperti ijab dan qabul, keizinan untuk pengambilan barang, berlalunya waktu

yang mungkin untuk pengambilan barang sebelum pihak kedua boleh

menggunakan barang tersebut.

iii. Sewaan .[ الإجارة ]
Bentuk permasalahan: Pihak pertama mendakwa yang pihak kedua perlu memulangkan kepadanya satu barang seperti sebuah motosikal yang dipinjam suatu masa dahulu. Pihak kedua enggan menyerahkan barang tersebut. Maka untuk menyelesaikan masalah ini, pihak pertama sanggup menyerahkan motosikalnya kepada pihak kedua sekiranya pihak kedua membenarkannya tinggal selama setahun dalam rumah yang dimiliki oleh pihak kedua. Dalam masalah ini, hakikat sebenar yang berlaku ialah proses sewaan. Seolah-olahnya pihak pertama menyewa rumah tersebut dengan membayar motosikalnya sebagai bayaran sewa. Pada masalah ini, segala syarat yang berkaitan akad sewaan perlu diambil perhatian.
iv. Pinjaman barang.[ الإعارة ]
Bentuk permasalahan: Pihak pertama mendakwa yang pihak kedua perlu memulangkan kepadanya satu barang seperti sebuah motosikal yang dipinjam suatu masa dahulu. Pihak kedua enggan menyerahkan barang tersebut. Maka untuk menyelesaikan masalah ini, pihak pertama memohon agar diadakan perdamaian dengan mengizinkan pihak kedua menggunakan motosikal tersebut dalam tempoh tertentu. Kemudian memulangkan semula kepadanya. Dalam masalah ini, hakikat sebenar yang berlaku ialah proses pinjaman. Seolah-olahnya pihak pertama meminjamkan motosilkal tersebut kepada pihak kedua. Sekiranya pinjaman tersebut mempunyai tempoh tertentu, maka ianya
dinamakan [ إعارة مؤقتة ] dan sekiranya pihak pertama tidak menetapkan tempoh masa, maka ianya dinamakan [ إعارة مطلقة ] . Pada masalah ini, segala syarat yang berkaitan akad sewaan perlu diambil perhatian.

v. Pelepasan harta atau hak.[ الإبراء ]
Bentuk permasalahan: Pihak pertama mendakwa yang pihak kedua perlu membayar semula kepadanya hutang sebanyak RM 1000.00 yang dipinjam suatu masa dahulu. Pihak kedua enggan membayar hutang tersebut. Maka untuk menyelesaikan masalah ini, pihak pertama memohon agar pihak kedua hanya membayar separuh sahaja daripada hutang tersebut iaitu sebanyak RM500.00. Dalam masalah ini, hakikat sebenar yang berlaku ialah proses pelepasan harta atau hak.
vi. Pesanan barang.[ السلم ]
Bentuk permasalahan: Pihak pertama mendakwa yang pihak kedua perlu memulangkan kepadanya satu barang seperti sebuah motosikal yang dipinjam suatu masa dahulu. Pihak kedua enggan menyerahkan barang tersebut. Maka untuk menyelesaikan masalah ini, pihak pertama memohon agar diadakan perdamaian dengan pihak kedua menyerahkan kepadanya sepuluh guni beras yang telah dinyatakan ciri-cirinya kepada pihak kedua. Dalam masalah ini, hakikat sebenar yang berlaku ialah proses pesanan barang. Seolah-olahnya pihak pertama memesan barang dari pihak kedua dengan membayar motosikal sebagai harga.

Chatting


ShoutMix chat widget

Times is Gold

Times is Gold

Followers

Our Sponsor

Ads

Powered by BannerFans.com

About This Blog


"To Sharing Islamic Knowledge With Muslims In The World"

Labels

e-referrer